Wednesday, November 4, 2009

Diri Mu : Ciptaan Yang Sempurna




iPhone, MacBook, Sony VAIO, BlackBerry Storm, Canon PowerShotA460, Proton Saga SE, Mercedes-Benz CLS-Class, Microwave Oven, Serunding Daging CheSalmah.com kesemuanya ada dua persamaan, yakni setiapnya ada manual tatacara gunapakai & servis serta kad tempoh jaminan kualiti. Ok lah, mungkin serunding tu tak ada manual, tapi jaminan terhad tetap diberi, jaminan ada hingga habis dimakan :)

Ok, jika semua barangan bernilai disisi kita, kita harapkan mempunyai tahap piawaian jaminan mutu yang terserlah dalam Kad Jaminan dan diperincikan melalui Manual Tatacara Gunapakai & Manual Servis, tidakkah kita pernah terfikir tentang diri kita.

Siapakah yang berhak memberi pengesahan piawaian jaminan kualiti diri kita dan dimanakah manual tatacara hidup kita? Atau adakah, agaknya kita ni kurang canggih berbanding dengan Microwave atau iPhone, hingga tak perlukan kepada kedua perkara tersebut?

Siapakah yang berhak menentukan, oleh sebab kita dilahirkan dalam keluarga orang kaya, hidup kita akan sentiasa kaya dan sebaliknya jika kita ditakdirkan lahir dalam keluarga orang miskin?

Siapakah yang berhak menegaskan, oleh sebab kita dilahirkan dalam keluarga kontraktor sivil, semua anak-anak kena belajar jurusan sivil dan seterusnya bagi keluarga doktor atau cikgu?

Siapakah yang berhak menghalang, jika anak kesayangan kita ingin belajar sekolah agama pondok sedangkan kita lepasan graduan unviersiti tersohor dunia?

Siapakah yang berhak dipersalahkan jika anak-anak remaja kita lebih selesa merempit, melepak, berzina dan tenggelam dalam najis dadah & arak, sedangkan kita sibuk dengan tugasan kerjaya, persatuan, parti politik, berFB dan bahkan, usrah agama.

Dimanakah letaknya pengesahan jaminan kualiti diri kita?
Di dahikah? Di bahukah? Di dadakah? Di DNAkah? Dimana ?????????
Pasti, ianya tidak sama dengan buku laporan amalan kita di Padang Mahsyar nanti.


Dalam kehidupan ini, kita selalu ketemui individu yang melompat dari satu kerja ke satu kerja, yang selalu tertekan dan komplen tentang kerjayanya, yang selalu buat busines tapi tak pernah menjadi, yang selalu menanam pelbagai jenis pokok tapi semuanya, samada mati atau terencat tumbesaran, yang asyik pening sebab ternakannya selalu mati berbanding dengan kawan-kawan lain yang menternak jenis yang sama. Kenapa? Adakah ini ada kaitan dengan salah guna hidup kita?

Pengguna microwave biasanya mengelak memanas masakan dlam pinggan kaca biasa atau plastik yang bukan sesuai untuk kegunaan. Kenapa? Sebabnya ianya diperinci dalam manual. Begitu, juga injin kereta Volvo 740 mungkin boleh ditukar dengan injin Volvo 850, sebab saiz ruang ingin sama dan fungsi2 asas masih tak jauh berubah dalam garis panduan dalam manual. Sedangkan, pemilik Kancil mungkin sukar memasukkan injin V6 kedalam keretanya.

Jadi, dalam hidup kita, Kad Jaminan Piawaian Mutu serta Manual Servis dan Tatacara Gunapakai menjadi sesuatu keperluan yang kita rujuk bagi membimbing kita membuat keputusan dan menyelesaikan sebarang kemelut kehidupan.

Tapi, bagaimanakah dengan keperluan diri kita ?
Adakah betul tidak wujud & tidak perlu kepada kedua perkara tersebut?


Sedangkan Allah sendiri ada berfirman bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaanNya dan Rasulullah ialah sebaik-baik manusia ciptaanNya. Jadi sewajarnya, Dia sahaja yang berhak memberi pengesahan piawaian diri kita dan Dia sahaja yang mengetahui dimana tersimpan.

Jika bagi produk keluaran, Kad Piawaian Jaminan hanya dikeluarkan pada peringkat pengeluaran atau sebelum dijual kepada pelanggan. Manakala, kad itu pun hanya penting semasa tempoh jaminan. Begitu juga halnya dengan manual tatacara, ianya tidak dpandang endah bila tatacaranya telah dihafal. Jadi, bagaimana dan bilakah kita menerima kad piawaian tersebut bagi mengesah bahawa diri kita ini layak untuk diperakui.

Pokok persoalannya ialah tidak ramai diantara kita yang mengetahui potensi diri kita sendiri. Sebaliknya kita lebih cuba memahami diri orang lain. Isu ini bukan sahaja menjadi satu keperluan dari sudut agama Islam, melalui cabang ilmu Tasauf, tapi bagi memberi hasil yang terbaik dalam kehidupan kita, secara umumnya.

Tanpa kesedaran tentang potensi diri masing-masing dan mengetahui apakah tujuan hidup mereka, gejala merempit, dadah dan lain2 gejala sosial & jenayah akan terus sukar dibendung. Akhirnya, pusat sehenti dan tindakan undang-undang dipandang enteng.

Seterusnya, ia akan bukan sahaja, merugikan daya pengeluaran negara tapi memberi kesan ketara dalam bajet pengurusan negara. Jadi kitaran yang bermula dari kelemahan individu rupanya memberi impak ketara negatif kepada negara.

Dalam ayat ke 6 Surah al-Hud , Allah berfirman “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata”.
Manakala pada ayat ke 12 Surah Al-Talaaq pula Dia menegaskan "Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu."

Ungkapan ahli Sufi pula lebih menyerlah tahap kebergantungan hidup kita kepada yang Maha Esa. Melalui madah “Hidup Ku dalam Tangan Mu, Mati Mu dalam Tangan Ku” adalah diantara hamba & tuannya. Ungkapan ini memaparkan kebergantungan hambanya yang mengakui bahawa hidupnya sentiasa didalam tangan Penciptanya, manakala pengesahan kenyataan dari tuan kepada hamba tersebut (Allah), bahawa ya, tanpa sebarang syak lagi, mati mu juga di dalam tangan Ku. Ungkapan diantara dua pihak ini, yang saling berkait, memaparkan hidup kita diikat kemas dengan objektif tertentu.

Lantaran, bermula saat kelahiran kita, detik, lokasi, siapa ibu ayah kita hingga perjalanan hidup dari alam bayi kepada remaja kepada dewasa dan akhirnya saat kematian kita, dimana, bagaimana, dengan siapa semuanya, telah tersurat dan dalam ilmu pengetahuan Allah.

Jadi adakah kita masih merasa kita sahaja yang paling berhak menentukan halatuju akademik, kerjaya dan calon menantu kepada anak-anak kita?

Selagi kita tidak membongkar pontensi diri, selagi itu lah kita dalam kerugian tentang kenapa kita dizahirkan didunia ini. Ini merupakan dilema kehidupan bagi sesetengah dari kita, yang walau pun sudah dewasa, berkerjaya dan berumahtangga, masih lagi mempersoalkan halatuju hidupnya. Bukan sahaja kemewahan terasa sukar dicapai, tapi ketenangan terasa tidak wujud dalam hidup mereka. Barulah mereka mencari jawapan kehidupan mereka. Sedangkan sumber yang dapat memberi jawapan tersebut ialah Allah sendiri.

Hanya setelah itulah baru kita berjumpa dengan “Manual Tatacara GunaPakai” hidup kita. Barulah kita sedar, secara kebenaran, dimanakah kekuatan punca rezeki, apakah kerjaya yang paling sesuai dan apakah ciri-ciri jodoh yang paling sesuai dengan profil diri kita.

Aneh bukan, sedangkan kebiasaanya kita bergantung kepada ahli nujum, bomoh, Feng Shui dan ramalan horoscope bagi memberi panduan melayari hidup kita, sedangkan maklumat itu sudah lama tersimpan kemas didada mu, menunggu saat ia dibuka.

Sedangkan jika kita tengok tauke kedai kek beroperasi secara optima pada tahap pengeluaran mesin yang dibelinya. Begitu juga penggunaan robot industri, tertakluk kepada spesifikasi dan fungsi yang telah terbina dalam. Kedua-duanya mempunyai manual operasi & tahap gunapakai yang jelas.

Jika melalui Kad Piawaian Jaminan produk dan Manual Tatacara GunaPakai & Servis kita dapat maklumat tentang siapakah pengeluar produk tersebut, begitu halnya setelah kita menggali tentang potensi diri baru lah kita dipermudahkan bertemu dengan Pencipta kita. Lantas, akan lebih membangkit rasa hormat & kasih sayang kepada diri sendiri serta Pencipta kita yang telah mencipta kita dengan sebaik-baik ciptaanNya.

Barulah kita dapat melihat generasi ahli politik yang mampu memegang amanah para pengundi, usahawan yang tidak melihat rasuah sebagai jalan pintas dan graduan menggangur melihat aktiviti ragut sebagai sumber pendapatan lumayan.

Semoga dikau mempunyai kekuatan untuk membongkar rahsia potensi diri mu serta dipermudahkan usaha mu mencari cinta sejati disisiNya, amiin.


Wassalam,
Din Kelate

No comments:

Post a Comment