Wednesday, December 2, 2009

MENCARI JALAN KEMBALI !!!


Tiba-tiba hati rasa sungguh sayu sekali sedang mulut kuman kumit membaca doa . Doa selepas solat sunat dua rakaat sesudah solat jumaat. Hatiku berdetik dengan pertanyaaan “sudahkah kau cari jalan kembali” Mengapa aku tiba-tiba mengingati saat kematian, mencari jalan pulang? Padahal kutbah yang di baca oleh khatib tadi langsung tidak menyentuh soal kematian. Khutbah tadi lebih berkisar kepada tanggung jawab seorang bapa atau penjaga dalam mendidik anak-anak. Semasa telinga mendengar khutbah, memang mindaku menyoal, adakah aku telah melaksanakan tugas dengan sempurna dalam mendidik anak-anak yang sedang meningkat remaja. Bagaimana kalau aku mengabaikan mereka, tak sempat sempurnakan tugas dan amanah , tiba-tiba aku menghadapi saat kematian pula.
Aku tahu kematian bukan perkara yang asing. Hari -hari ada saja orang yang mati. Ada yang mati di tembak polis, ada pula kemalangan kereta, mati kerana sakit tua, kapal terbang meletup, helicopter terhempas dan macam-macam bentuk kematian lagi. Aku sendiri sudah berulangkali menghadapi kematian orang tersayang , keluarga terdekat. Melihat bagaimana ayah sendiri menghembuskan nafasnya yang terakhir dipangkuan. Mengurus kematian bapa mertua. Menziarahi majlis pengkebumian saudaramara dan rakan taulan terdekat. Memanglah kematian bukan lagi perkara yang asing, tapi mengapa pula kali ini hati aku amat sayu sekali, lebih sayu dari saat memapah jenazah arwah ayah.
Mencari jalan kembali? Belum ada yang sesat mengusung jenazah menuju jalan ke kubur. Ada yang di usung dalam keranda dengan berjalan kaki terus dari rumah sampai ke kubur, ada pula yang perlu di hantar menggunakan van jenazah sampai ke kubur. Begitulah mudahnya jasad di hantar bersemadi di tanah perkuburan. Tanah perkuburan tempat khusus, orang kampong orang taman semuanya maklum di mana tanah kubur. Aku tidak kisah sangat pasal perjalanan jasad , yang lebih aku kisahkan adalah soal perjalanan Roh. Sebagaimana aku seringkali sebut “Innalillahiwaainna illahi raajiun- daripada Allah aku datang kepada Allah aku kembali”. Ungkapan ini sungguh membimbangkan aku. Dapatkah ‘aku’ kembali kepada Allah? Dapatkah aku kembali sebagaimana aku kemari dulu? Kalau nanti ‘aku’ tidak dapat kembali kepada Allah , dimanakah ‘aku’ akan sesat? Bagaimanakah bentuk penderitaan semasa sesat nanti? Ada sesiapakah yang akan dapat menunjukkan jalan kepada aku nanti? Semua soalan-soalan ini amat mengusarkan hati aku, amat memilukan. Aku kena segerakan dan tingkatkan usaha untuk mengenalpasti jalan kembali – Mencari Jalan Kembali !!!
Rencana ini adalah sumbangan dari dinderaman
http://dinderaman.blogspot.com